Kerajaan pastikan FELDA tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kerajaan memberi jaminan kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) tidak akan dipinggirkan daripada arus pembangunan negara, sebaliknya terus menjadi sebahagian entiti penting dalam agenda transformasi nasional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memastikan FELDA terus terlibat dalam semua projek pembangunan negara dan tidak dipinggirkan.
  • Penyaluran peruntukan besar untuk pendidikan, kemudahan sosial dan infrastruktur di kawasan FELDA.
  • Kerjasama antara kerajaan, pengurusan FELDA dan peneroka penting untuk meningkatkan kesejahteraan dan peluang generasi baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, FELDA bukan hanya sekadar entiti ekonomi, malahan sebuah institusi sosial yang memainkan peranan besar dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan komuniti peneroka.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua kementerian dan jabatan kerajaan memastikan setiap projek serta inisiatif baharu turut melibatkan kawasan FELDA.

“Saya mengarahkan semua jabatan dan kementerian, ada projek, ada ikhtiar baru, jangan tinggalkan Felda sebagai kawasan yang terasing,” katanya ketika berucap semasa majlis amanat bersama warga FELDA, hari ini.

Perdana Menteri berkata, berkata pendekatan tersebut telah dilaksanakan melalui penyaluran peruntukan besar bagi pembangunan kemudahan asas dan sosial di kawasan FELDA.

Beliau berkata usaha itu merangkumi pembangunan pendidikan, kemudahan sosial serta infrastruktur bagi memastikan komuniti FELDA menikmati kemudahan yang setara dengan kawasan lain di negara ini.

Pada masa sama, beliau turut menggesa pihak pengurusan FELDA memberi pandangan dan cadangan mengenai inisiatif tambahan yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti peneroka.

Perdana Menteri berkata, kerjasama antara kerajaan, pengurusan FELDA serta komuniti peneroka amat penting bagi memastikan kawasan FELDA terus berkembang dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurutnya, pendekatan tersebut juga bertujuan memastikan generasi baharu FELDA dapat menikmati peluang pembangunan yang lebih luas selari dengan agenda transformasi negara termasuk dalam aspek digitalisasi, inovasi dan peningkatan rantaian nilai ekonomi.

“Jangan tinggalkan FELDA sebagai kawasan yang terasing, yang dulu begitu. FELDA ada upaya, dia terkepung dalam pulau asing, Pulau Bilut dan sebagainya,” katanya.