
IPOH, 6 Mac – Kerajaan akan terus meneliti langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan barangan asas negara kekal stabil serta harga barangan termasuk bahan api dapat dikawal susulan krisis di Asia Barat.
- Bekalan barangan asas negara berada pada tahap baik dan mencukupi.
- Konflik di Asia Barat berpotensi menjejaskan minyak serta beberapa barangan import dari rantau berkenaan.
- Kerajaan terus memantau dan meneliti perkembangan untuk memastikan perancangan ekonomi lebih bersedia.
- Kerajaan menggesa semua pihak utamakan diplomasi dan rundingan bagi meredakan konflik serta mengekalkan bekalan asas.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata setakat ini bekalan barangan asas negara masih berada pada tahap baik dan mencukupi.
Beliau berkata bagaimanapun konflik di rantau Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada beberapa barangan tertentu terutama minyak serta barangan import dari rantau berkenaan.
“Ini sudah tentu akan memberi kesan secara langsung kepada rantaian minyak dunia dan kerajaan pada hari ini masih lagi meneliti serta mengikuti rapat perkembangan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan segala perancangan yang melibatkan ekonomi dapat kita tangani dan hadapi dengan keadaan yang lebih bersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Motorsikal di bawah inisiatif Sejahtera MADANI di Dewan Komuniti Sungai Tapah di sini hari ini yang melibatkan 22 penerima.
Muhammad Kamil berkata setakat ini keadaan ekonomi tempatan masih berada pada tahap baik namun kerajaan menjangkakan beberapa mekanisme penting mungkin perlu diambil bagi memastikan situasi kekal terkawal.
Beliau turut menggesa semua pihak termasuk negara lain supaya mengutamakan dialog serta rundingan melalui pendekatan diplomasi bagi meredakan konflik, di samping memastikan bekalan barangan asas terus mencukupi.