fb fb fb fb fb

Kerajaan NS sediakan 16,000 kilogram daging pejal sempena Program Mantai Rayo 2024

Exco Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias

SEREMBAN, 21 Mac- Sebanyak 16,000 kilogram daging pejal bersamaan 160 ekor lembu disediakan kerajaan Negeri Sembilan sempena Program Mantai Rayo 2024.

Pemberian itu bagi menghidupkan amalan tradisi turun temurun masyarakat di negeri beradat itu.
 
Menurut Exco Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, usaha itu dilaksana dalam memberi kemudahan kepada masyarakat di negeri itu mendapatkan barangan mentah sebagai persediaan juadah sempena perayaan Aidilfitri dengan menawarkan harga rendah sebanyak 20 peratus daripada harga pasaran.

"Saya ingin sebut pada tahun ini kerajaan negeri telah memutuskan untuk membuat mantai raya serentak pada 7 April bermula pada pukul 7.00 pagi sehingga bekalan habis."

"Tumpuan kita kali ini, kita akan buat serentak di 16 kawasan DUN yang akan dimaklumkan kepada pihak media. 20 lokaliti, ada kawasan yang kita buat dua tempat dalam satu lokaliti dalam satu kawasan DUN. Jumlah keseluruhan adalah 20 lokaliti di 16 DUN," kata Datuk Seri Jalaluddin kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini.

Dianggarkan mininum 500 kilogram daging pejal akan dijual disetiap lokasi serta setiap mengehadkan pembelian sebanyak dua kilogram untuk setiap pembelian.

Ia adalah untuk memberi peluang kepada lebih ramai rakyat terutama golongan B40 dan asnaf dapat menikmati insentif yang disediakan oleh kerajaan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) turut meletakkan spesifikasi khusus kepada setiap lembu bagi memastikan kualiti dan kesegaran daging-daging yang dijual pada program tersebut terjamin.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM