fb fb fb fb fb

Kerajaan negeri tidak pernah membisu hak tuntutan Sabah MA63 - Hajiji

Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) menyerahkan replika kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada seorang penerima di Kampung Pantai Emas, Kota Belud/Foto FB Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU, 3 Jun - Kerajaan negeri tetap dengan pendirian untuk menuntut hak Sabah termasuk pengembalian 40 peratus hasil bersih negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Hajiji menegaskan, dakwaan pembangkang bahawa kerajaan di bawah pimpinannya membisu dalam isu tuntutan hak Sabah adalah tidak betul.

Sebaliknya, tuntutan tuntutan hak Sabah sentiasa diperjuangkan kerajaan negeri ketika Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau dalam Mesyuarat Kabinet.

"Usaha untuk menuntut hak Sabah memerlukan kata sepakat daripada semua pihak bagi memudahkan usaha itu dicapai dan memastikan suara negeri dihormati Kerajaan Persekutuan.

"Kalau kita bergaduh kerana mahu berebut kuasa macam mana? Tentu usaha ini menjadi lambat untuk berjaya. Jadi, untuk berjaya dan maju saya harap sangat supaya dalam politik kita bersatu hati.

"Dalam Mesyuarat MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, saya pun duduk di sana. Saya nyatakan dengan tegas apa yang kita tuntut, termasuk 40 peratus hasil cukai yang mesti dikembalikan kepada Sabah.

"Itu jelas, jadi jangan cakap mungkin kerajaan negeri tidak bersuara. Boleh semak dalam minit Mesyuarat MA63," katanya.

Hajiji berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Anak Negeri dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada Ahad.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, rundingan akan diteruskan dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu tuntutan pemberian 40 peratus hasil bersih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

Beliau berharap isu tersebut dapat diselesaikan pada 18 Julai depan.

"Memang betul Sabah menerima jumlah pemberian khas RM125.6 juta pada tahun 2022. Pada tahun ini Kerajaan Persekutuan telah memberikan RM300 juta kepada kerajaan negeri.

"Ia bukanlah hasil daripada 40 peratus, oleh itu kita perlu selesaikan tuntutan ini secepat mungkin," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatannya ke Sabah baru-baru ini tidak mahu menangguhkan lagi perkara yang disepakati antara kerajaan Persekutuan dan Sabah seperti terkandung dalam MA63.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) pada 30 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN