SEREMBAN, 28 Februari-Kerajaan Negeri Sembilan telah melancarkan Tabung Apartment Wakaf Negeri Sembilan di Gaza dengan sasaran kutipan dana sebanyak RM4.5 juta bagi membantu rakyat Palestin.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, tabung ini merupakan sebahagian daripada projek pembangunan Bandar Wakaf Malaysia-Gaza, yang menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di ASEAN yang membangunkan sebuah bandar wakaf di Gaza.
"Usaha ini bertujuan menyediakan bantuan keperluan utama kepada rakyat Palestin serta memperkenalkan model pembangunan wakaf di sana.
"Projek ini juga akan merangkumi pembinaan masjid, sekolah, klinik, taman rekreasi, dan menara tangki air, dengan kos keseluruhan dianggarkan RM120 juta di atas tanah wakaf seluas 87 ekar," katanya ketika berucap pada Program Ihya Ramadan Peringkat Negeri Sembilan dan Tabung Apartment Wakaf Negeri Sembilan di Gaza, yang diadakan di Masjid Negeri di sini.
Aminuddin turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan kaedah pemotongan gaji secara sukarela kepada penjawat awam sebagai inisiatif tambahan untuk mengumpulkan dana bagi tabung ini.
Selain itu, pada majlis yang sama, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut menyerahkan bantuan khas Ramadan berjumlah RM5.152 juta kepada masjid dan surau di seluruh Negeri Sembilan bagi menyokong aktiviti sepanjang bulan Ramadan.