ALOR SETAR, 4 Mac- Kerajaan Negeri Kedah perlu memikirkan langkah wajar untuk meningkatkan produktiviti padi di negeri itu.
Penyelesaian yang ketara dalam perkara ini adalah penggunaan teknologi dalam pertanian.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni almarhum Sultan Badlishah bertitah, teknologi di segenap rantaian pengeluaran padi perlu diperkasa bermula dari pengeluaran benih sehingga penuaian.
Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah sektor pertanian terutamanya pengeluaran beras adalah sektor 'lifeline' yang menjadi asas keselamatan makanan negeri dan negara.
Baginda bertitah, pembekalan beras bagi memenuhi keperluan negara adalah tanggungjawab strategik negeri kepada Persekutuan yang tidak akan dikompromi demi memastikan kelangsungan dan keselamatan negara kekal terjamin.
Pada masa sama, nasib pesawah yang merupakan 'power house' sebenar sektor pertanian padi perlu diberi perhatian yang serius.
Ini kerana, dengan hasil pendapatan yang sangat rendah, keringat pesawah diperah dengan balasan tidak setimpal.
"Dalam menyelesaikan isu ini, kerajaan negeri harus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk menstruktur semula ekosistem pengeluaran dan pemasaran padi agar memberi pulangan setimpal kepada petani dan bukan hanya menguntungkan pemain hiliran semata-mata.
"Cabaran yang dihadapi oleh petani dalam mengguna pakai teknologi seperti tahap kemampuan kewangan dan kekurangan ilmu pengerahuan perlu diselesaikan. Kerajaan perlu mengambil langkah bekerjasama dengan pihak swasta untuk menyediakan perkhidmatan teknologi pertanian pada harga murah dan berkualiti,"katanya.
Titah baginda lagi, perancangan penggunaan teknologi dalam pertanian diperlukan di peringkat negeri dalam usaha memodenkan sektor pertanian negeri dengan lebih serius.
Selain padi, pengeluaran tanaman makanan yang lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran perlu dipelbagaikan agar sektor makanan menjadi lebih mampan.