BALIK PULAU, 20 Jun - Kerajaan negeri digesa menjalin kerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk memperkemas dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan zon dan taman perindustrian di negeri masing-masing.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata langkah itu untuk menarik pelaburan baharu dari luar negara ke negeri-negeri berkenaan sebagai usaha memberi manfaat kepada semua rakyat.
"Pendekatan kita adalah untuk membangunkan keseluhan negeri dan kita tidak mahu kesenjangan pertumbuhan ekonomi yang hanya tertumpu di Lembah Klang dan negeri tertentu.
"Kami mahu negeri-negeri lain seperti Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak turut dapat menikmati pembangunan. Oleh itu, kita mahu kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf infrastruktur serta pembangunan zon dan taman perindustrian mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pusat Inkubator Kraf, di sini.
Tambah Azmin, pada tahun lalu, Kedah mencatatkan prestasi luar biasa dari segi pelaburan di negeri itu.