fb fb fb fb fb

Kerajaan nafi pantau WhatsApp rakyat - Fahmi

Fahmi Fadzil

KOTA KINABALU, 17 Mei- Kementerian Komunikasi sekali lagi menafikan mengeluarkan peraturan baharu kononnya semua panggilan telefon dan medium media sosial termasuk WhatsApp dirakam serta dipantau kementerian itu.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, peraturan yang ditularkan kembali itu adalah palsu.

"Perkara ini telah berlegar, seingat saya tahun lalu dan kini ia muncul semula.

"Sejujurnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak ada kebolehan itu kerana aplikasi seperti WhatsApp adalah aplikasi end-to-end encryption.

"Jadi mana-mana pihak tidak boleh tembus masuk melainkan polis ada (secara fizikal) telefon bimbit terbabit untuk tujuan siasatan

"Saya tegaskan apa yang tersebar adalah palsu dan tidak benar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sembang santai bersama Komuniti MADANI di sini hari ini.

Sementara itu, Fahmi mahu syarikat terlibat dalam pembinaan menara telekomunikasi di bawah Pelaksanaan Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah menyiapkan projek berkenaan dengan kadar segera.

Setakat ini, kemajuan projek tersebut hanya 25 peratus siap membabitkan 400 menara keseluruhannya.

"Ia sangat lambat, dalam mesyuarat pagi tadi saya tegaskan kepada kedua-dua syarikat bahawa SKMM akan mengambil tindakan lebih proaktif dan tegas.

"(Begitu juga) intervensi-intervensi yang dirasakan perlu bagi menyelesaikan empat atau lima kategori masalah yang mereka hadapi," katanya.

Tambah Fahmi, usaha berkenaan diperlukan bagi memastikan syarikat terbabit dapat menyiapkan sekurang-kurangnya 30 menara seperti yang dipersetujui.

Sehubungan itu, pemantauan setiap bulan akan dijalankan oleh pihaknya untuk kelancaran projek terbabit.

SITI AISHAH MD ISA