fb fb fb fb fb

Kerajaan minta penjelasan Meta turunkan hantaran ucapan takziah dan kritikan PM

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 1 Ogos - Kementerian Komunikasi sudah meminta penjelasan daripada Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan hantaran ucapan takziah dan kritikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.

Menterinya merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, pihaknya turut meminta Meta menjelaskan alasan dan sebab; hanya hantaran kandungan yang dimuat naik di akaun rasmi Facebook dan Instagram Anwar yang disasar.

Fahmi berkata kerajaan kesal dengan tindakan penurunan tersebut dan sedang menantikan penjelasan sama ada ia dibuat pihak Meta secara automatik atau berdasarkan kepada aduan diterima daripada orang ramai.

"Waktu ini ada beberapa kemungkinan sama ada ia diturunkan pihak Meta sendiri secara automatik, ataupun yang diterima daripada aduan orang ramai. Jadi waktu ini kita belum lagi mendapatkan
penjelasan yang penuh dan kita sedang nantikan daripada pihak Meta, " kata Fahmi kepada pemberita dalam sidang media mingguan, di sini.

Setakat ini belum ada organisasi media yang memuat naik hantaran Perdana Menteri mengenai pembunuhan pemimpin Hamas berkenaan atau perbualan dengan wakil sayap Hamas diturunkan selain Bernama Radio.

"Sekiranya rakan-rakan media ada mengalami keadaan ataupun kejadian ini, sila maklumkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai usaha mengembalikan hantaran itu dilakukan.

Mengenai pembunuhan kejam Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri Palestin, Fahmi berkata kerajaan menyifatkan insiden itu sebagai satu usaha untuk mensabotaj proses pendamaian dan gencatan senjata yang sedang diusahakan.

"Semalam mesyuarat Jemaah Menteri secara sebulat suara mengecam pembunuhan Haniyeh dengan cara yang begitu kejam dan biadab sekali," katanya.

Fahmi berkata kerajaan akan menghantar ketua perwakilan Malaysia bagi menghadiri majlis pengebumian Haniyeh di Qatar hari ini.

"Jemaah Menteri tidak dapat menghantar wakil ke pengebumian Haniyeh kerana ia akan diadakan hari ini, jadi tak sempat. Jadi akan ada Malawakil akan hadir bagi mewakili kerajaan,” katanya.

Terdahulu, media Iran melaporkan bahawa Haniyeh dibunuh dalam serangan udara yang menyasarkan tempat penginapannya di utara Tehran sekitar pukul 2.00 pagi waktu tempatan, semalam.

Dalam pada itu, satu perhimpunan besar-besaran sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin dirancang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad ini.

Fahmi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan turut hadir pada perhimpunan yang dijadual bermula pukul 8.00 malam itu.

"Rakyat Malaysia dijemput hadir dan ini akan melibatkan, kita akan buka ruang ini untuk semua pihak bersama-sama untuk memberikan solidariti dan kita harap ini akan menjadi satu signal yang jelas kepada masyarakat antarabangsa juga bahawa pendirian rakyat Malaysia dalam isu Palestin tidak berubah dan kita akan terus bersolidariti bersama-sama rakyat Palestin," kata Fahmi.

 

TETITIA YUSOFF