Kerajaan MADANI tegas pastikan kepentingan semua kaum terjamin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggaul yee sang dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini.

KUALA LUMPUR, 17 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan pimpinannya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas dalam menangani isu perkauman demi melindungi kepentingan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan MADANI akan mengambil tindakan tegas terhadap isu perkauman untuk melindungi keharmonian berbilang kaum.
  • Perpaduan antara kaum dan toleransi penting bagi kejayaan dan kestabilan negara.
  • Pencapaian ekonomi mencerminkan hasil kerjasama rakyat pelbagai kaum.
  • Sambutan Tahun Baharu Cina dijadikan platform mengukuhkan perpaduan dan menolak sentimen perkauman.

Jelas beliau, langkah itu penting memandangkan tiada negara yang boleh mencapai kejayaan sekiranya rakyat berpecah-belah, tiada semangat toleransi serta kerjasama antara kaum dan agama.

Malah, kerjasama rakyat berbilang kaum di negara ini selama ini telah membuahkan hasil dengan data ekonomi menunjukkan Malaysia berjaya mencatat hasil kemajuan yang jauh lebih membanggakan.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan MADANI ini bersama rakan-rakan kita, akan memastikan untuk terus bekerja lebih kuat, pertama untuk negara ini aman, kedua dasar yang baik dan menjamin keselesaan, kebahagiaan dan kejayaan bagi semua rakyat semua kaum di negara kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, isu perpaduan bukanlah sesuatu perkara yang baharu di dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

Beliau memberi contoh cabaran yang pernah dihadapi Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam menangani isu 3C ketika itu, iaitu komunisme, komunalisme dan rasuah yang memberi kesan kepada kestabilan negara.

Ketika ditemui media kemudiannya, Datuk Seri Anwar berharap sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini dapat dimanfaatkan seluruh rakyat untuk mengukuhkan perpaduan serta menolak sebarang sentimen perkauman yang tidak membawa kebaikan kepada Malaysia.