Kerajaan MADANI tegas angkat nilai hormat dan martabat insan

Kerajaan MADANI tegas angkat nilai hormat dan martabat insan.

KUALA LUMPUR, 22 Februari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembinaan negara MADANI mesti berpaksikan nilai hormat, kemuliaan insan dan pengukuhan akhlak, selari dengan semangat Ramadan sebagai madrasah tarbiah umat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan MADANI mengutamakan nilai hormat, kemuliaan insan dan pengukuhan akhlak selari semangat Ramadan.
  • Negara mesti maju dalam teknologi sambil kekal teguh dalam akidah, adab dan penghargaan terhadap golongan kurang diberi perhatian.
  • Perpaduan dan keharmonian terjamin melalui saling menghormati antara kaum, keadilan untuk B40 dan peluang untuk anak muda.

Datuk Seri Anwar berkata, pembangunan negara tidak boleh hanya diukur melalui pencapaian kecerdasan buatan (AI), digitalisasi atau peralihan tenaga, sebaliknya perlu “menggapai ke langit dan mengakar ke bumi” – maju dalam teknologi tetapi teguh dalam akidah dan adab.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan.

Beliau menekankan bahawa konsep hormat perlu bermula daripada perkara asas termasuk menghargai golongan pekerja kebersihan, penjaga masjid dan kelompok masyarakat yang sering tidak diberi perhatian.

Tambah beliau, roh sebenar Negara MADANI memuliakan setiap insan tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.

Beliau turut mengingatkan kisah sahabat nabi, Abdullah Ibn Ummi Maktum, yang dimuliakan meskipun bukan dalam kalangan elit masyarakat. Kisah itu, katanya, menjadi peringatan bahawa darjat manusia di sisi Allah tidak diukur melalui pangkat atau kekayaan.

Dalam konteks negara, beliau menegaskan kerajaan tidak boleh meminggirkan rakyat terbanyak termasuk golongan B40 dan anak muda, sebaliknya perlu memastikan kebajikan serta peluang pembangunan dinikmati secara adil.

Beliau turut menghargai sikap toleransi masyarakat pelbagai kaum dan agama, termasuk komuniti perniagaan Cina yang menyusun sambutan Tahun Baharu Cina lebih awal sebagai tanda hormat kepada umat Islam yang berpuasa.

Jelas beliau, budaya saling menghormati inilah yang menjamin keharmonian Malaysia sebagai negara berbilang kaum dengan Islam sebagai agama Persekutuan, tanpa menafikan hak penganut agama lain.

Perdana Menteri menyeru rakyat agar membawa naratif positif, membina negara dengan nilai akhlak yang kukuh serta tidak terperangkap dalam polemik dan sentimen yang memecah-belahkan masyarakat.

Beliau menegaskan, Malaysia hanya mampu maju sebagai negara MADANI jika pembangunan fizikal dan ekonomi digerakkan seiring dengan pemantapan nilai kemanusiaan, keimanan dan perpaduan.