KUALA LUMPUR, 15 Februari- Pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada kadar 5 peratus mencerminkan keberkesanan dasar Kerajaan dalam memastikan pertumbuhan yang mampan dan berdaya saing.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan itu mesti diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat dengan memberi peluang pekerjaan, pembukaan perniagaan baharu, peningkatan kemudahan infrastruktur, dan pemacuan taraf hidup.
Ujarnya,Kerajaan MADANI komited memastikan pembangunan infrastruktur asas, bekalan air bersih, elektrik dan internet terus dipertingkatkan kepada penduduk luar bandar.
"Dalam memastikan kesejahteraan ekonomi Bumiputera, Kerajaan akan memperkukuh akses kepada pembiayaan yang lebih strategik melalui MARA contohnya, sekali gus merancakkan lagi pemerkasaan ekonomi negara.
"Melalui Majlis TVET Negara, kerajaan akan terus berusaha melahirkan tenaga berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi keperluan industri yang berkembang pesat.
"Termasuk automasi, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, dan kejuruteraan pintar," katanya dalam satu hantaran di laman sosial.
Jelas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, inisiatif itu bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan, tetapi juga memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam era ekonomi moden.
Ujarnya, industri halal juga berpotensi menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi negara.
"Malaysia mesti kekal sebagai hab halal global dengan memperkukuh ekosistem halal, memperluaskan pasaran eksport, serta memastikan lebih ramai usahawan Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa.
"Sektor pelancongan terus menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara," katanya.
Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemacu utama dalam memperkukuh industri ini, dengan menekankan segmen ekopelancongan, agropelancongan, pelancongan Islamik, dan pelancongan budaya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yakin, Malaysia kini berada di landasan kukuh menuju pertumbuhan mampan dan inklusif.
"Kejayaan ini memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan, sektor swasta, dan rakyat, agar manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat," menurutnya lagi.