KUALA LUMPUR, 19 Jun- Kerajaan meluluskan penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) sebanyak RM 5 juta bagi menjayakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kelantan pada 21 hingga 23 Jun ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata, permohonan operasi itu dikemukakan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) melalui penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).
"OPA adalah tindakan awal yang dilakukan Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.
"Malah, taburan hujan yang rendah yang dicatatkan bermula Februari hingga April tahun ini telah menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta menggangu operasi pam di seluruh Kawasan KADA.
"Bagi membolehkan Rumah Pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, Sungai Kelantan perlu mencapai aras air pada ketinggian 4.90 meter, tetapi KADA hanya merekodkan aras air sungai Kelantan terendah iaitu 2.19 meter pada minggu kedua April 2024 lalu," katanya.
Operasi dijangka akan meningkatkan paras air Sungai Kelantan agar dapat mengairi kawasan-kawasan pertanian yang terjejas ketika ini.
Pada masa sama beliau juga berharap operasi berkenaan dapat memberikan sumber air yang mencukupi selain menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan serta memastikan kapasiti kawasan tadahan hujan mencukupi sepanjang tempoh cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.