SEREMBAN, 25 April - Kerajaan Persekutuan meluluskan pembinaan pelabuhan kontena pintar bercirikan kecerdasan buatan (AI) pertama di Port Dickson, bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kelulusan projek tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) di Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Menerusi mesyuarat tersebut, satu kertas pertimbangan penting dibentangkan iaitu cadangan pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) di Negeri Sembilan yang merangkumi Daerah Seremban dan Port Dickson.
“Komponen paling penting yang diluluskan hari ini ialah pembinaan sebuah pelabuhan di Port Dickson. Ini merupakan pelabuhan pertama di Negeri Sembilan dan sudah tentu akan menjadi pemangkin penting kepada pembangunan negeri untuk tahun-tahun yang akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai di Dataran Nilai, di sini, hari ini.
Anthony menjelaskan, pelabuhan kontena pintar yang bakal menggunakan teknologi AI itu dijangka memberi impak maksimum kepada keseluruhan rantaian perkhidmatan marin dan kargo.
Selain itu, katanya, projek strategik berkenaan bakal menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Terdahulu, Kerajaan Negeri memeterai perjanjian usahasama antara Menteri Besar Negeri Sembilan Pemerbadanan (MBNIS) dan Midports Holdings Sdn. Bhd. bagi merealisasikan pembinaan pelabuhan berkenaan.
Kawasan pembinaan pelabuhan tersebut telah diwartakan sebagai Had Pelabuhan oleh kerajaan Persekutuan sejak 22 Ogos, 2017.