KUALA LUMPUR, 29 Februari- Kerajaan menyediakan beberapa kaedah sebagai usaha untuk mengatasi isu pekerjaan bawah kelayakan graduan antaranya program MyStep dan intervensi awal bersama pihak industri.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah lain termasuk mengkaji semula fakulti yang mempunyai kebolehpasaran pekerjaan bawah 30 peratus.
Jelas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud, ketika ini dianggarkan 40 peratus graduan bekerja dibawah kelayakan.
"Mengikut statistik sekarang lebih kurang 40% pengangguran ini yang kami cuba suai padan dengan ijazah yang mereka ada.
"Berdasarkan statistik, jurang ini semakin berkurang tetapi sementara ini kita perlukan intervensi awal bersama industri untuk graduan mendapatkan gaji dan pekerjaan setimpal dan gaji yang sepadan," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan kerajaan berkenaan kesediaan kerajaan untuk mempertimbangkan penyediaan program transisi untuk graduan.
Sementara itu di peringkat kementerian penyemakan berkenaan kurikulum secara berkala turut dilakukan bagi penawaran yang ditawarkan di peringkat universiti menepati penanda aras industri.
Pada masa sama kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut dilakukan supaya graduan memenuhi keperluan industri.
Sementara itu, pada tahun lepas kira-kira 87,757 graduan berjaya memperoleh pekerjaan menerusi portal MyFuture Job.