fb fb fb fb fb

Kerajaan kuat kuasa Perintah Perihal Dagangan 2023 mulai 4 Jun

Datuk Armizan pada Program Jelajah Karnival KPDN Peringkat Zon Timur 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini/ BERNAMA

KOTA BHARU, 8 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang-Barang Tersedia Bungkus) 2023 bermula 4 Jun lepas di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang diwartakan pada 2 Oktober tahun lepas.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pewartaan itu bertujuan memastikan pengilang, pengeluar, pengimport dan pemborong mematuhi piawaian penandaan kuantiti pada label bungkusan bagi semua produk dan barangan tersedia bungkus yang dijual dalam pasaran negara.

"Penguatkuasaan perundangan ini membantu pengguna mendapat maklumat jelas berhubung kuantiti produk, sekali gus menambah keyakinan pengguna ke atas semua produk tersedia bungkus yang berada di pasaran," katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Karnival KPDN Peringkat Zon Timur 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini.

Armizan berkata pihak industri juga perlu mempertingkat kawalan dalaman bagi memastikan kuantiti setiap produk tersedia bungkus adalah tepat dan tidak merugikan pengguna.

Pewujudan perintah itu katanya merupakan komitmen Malaysia bagi mengharmonikan perundangan dalam bidang pengukuran bagi mengelak halangan teknikal dalam perdagangan antara negara-negara ASEAN.

"Kementerian juga boleh mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang-Barang Tersedia Bungkus) 2023," katanya.

Beliau berkata jika berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang, pengeluar, pengimport dan pemborong, mereka boleh didenda tidak melebihi RM200,000, manakala bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

Bagi individu pula, akan didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, katanya.

Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, Jelajah Karnival KPDN di negeri Kelantan yang berlangsung sejak 6 Jun lalu merupakan siri kedua daripada takwim siri jelajah tahun 2024 oleh KPDN selepas Program Jelajah Karnival KPDN Peringkat Negeri Perlis yang diadakan pada 10 hingga 12 Mei yang lalu. 

Beliau berkata, program yang berakhir hari ini merupakan manifestasi terhadap usaha pihak KPDN yang bukan bersifat one-off atau berbentuk ceremonial, tetapi berkait rapat dengan agenda penting negara yang digagaskan oleh Perdana Menteri melalui Agenda Ekonomi MADANI.

Selepas siri program Jelajah Karnival KPDN di Kelantan, pelaksanaan empat lagi siri program ini diteruskan di Sarawak, Perak, Sabah dan Melaka dari bulan Jun sehingga Disember 2024.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI