fb fb fb fb fb

Kerajaan komited tingkatkan peranan Malaysia dalam hal ehwal antarabangsa

(FOTO FAIL)

PUTRAJAYA, 17 Mei - Kerajaan Perpaduan akan terus berusaha meningkatkan peranan Malaysia dalam hal ehwal antarabangsa termasuk ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penglibatan tenaga profesional yang kompeten melalui Kementerian Luar dilihat mampu merealisasiakan hasrat tersebut.

Kementerian itu katanya telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam mempromosikan dasar dan konsep Malaysia Madani di peringkat antarabangsa.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Sambutan
Aidilfitri Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra / FOTO BERNAMA)

"Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana sumbangan dan khidmat yang ditunjukkan pegawai, profesional dan penjawat awam di Wisma Putra... sangat membanggakan saya.

"Kerajaan Perpaduan akan terus mengangkat peranan dan martabat supaya hubungan antarabangsa akan diberikan keutamaan dan dengan itu peranan rakan-rakan juga tentunya akan bertambah," kata Anwar ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Luar (Wisma Putra), di sini.

Tambah Anwar, berdasarkan pengalamannya sejak mula berkhidmat untuk negara serta lawatan ke beberapa negara, apa sahaja kejayaan yang dicapai adalah hasil komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh pegawai kementerian.

Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November tahun lalu, Datuk Seri Anwar telah melakukan 10 lawatan antarabangsa ke sembilan negara.

Antaranya Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Tukiye, Filipina, Arab Saudi, Kemboja, China, dan terbaharu Indonesia bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-42.

Media Baharu