fb fb fb fb fb

Kerajaan komited tangani penularan ajaran sesat

Dr Zulkifli Hasan menghadiri Majlis Mahabbah Aidilfitri di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Pokok Sen

ALOR SETAR, 27 April- Kerajaan komited dalam memastikan penyebaran ajaran sesat dan fahaman menyeleweng akidah umat Islam di negara ini disekat daripada menular.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi penguatkuasaan lain dalam menangani isu berkaitan.

Ia susulan isu agensi mubaligh tertentu yang dikatakan menyebarkan fahaman di media sosial terutama di lama sosial seperti TikTok sehingga ada imam di luar negara didakwa mengisytihar diri mereka murtad.

"Dalam isu ini sekiranya melanggar undang-undang pihak berkuasa akan menjalankan siasatan, kita serahkan pada pihak berkuasa seperti PDRM dan yang lain-lain.

"Namun begitu di samping kita memberikan ruang pihak berkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang kita memainkan peranan dengan kerjasama NGO dan agensi-agensi untuk memberi kefahaman dan pencerahan pada masyarakat,"katanya.

Tambahnya, setakat ini  pihaknya tiada menerima aduan berhubung isu  ajaran sesat dan fahaman menyeleweng daripada akidah Islam di media sosial di negara ini.

Katanya lagi adalah penting bagi program dakwah Islam terus diperkasa kepada seluruh masyarakat.

Beliau ditemui selepas Majlis Mahabbah Aidilfitri di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Pokok Sena di Alor Setar yang dihadiri lebih 300 petugas dakwah di negeri Kedah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE