PERMATANG PAUH, 16 September - Kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan harga internet di negara ini kekal mampu milik dan tidak membebankan rakyat, selain memastikan akses tersebut berada pada tahap terbaik.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, syarikat-syarikat telekomunikasi juga diarahkan untuk membenarkan pengguna 4G menaik taraf kepada perkhidmatan 5G tanpa sebarang caj tambahan.
Langkah itu diambil untuk memastikan akses internet yang lebih baik dan pantas dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
"Sebagai Menteri Komunikasi, saya juga telah berusaha bertungkus-lumus untuk pastikanharga internet lebih murah. Kalau ikutkan, syarikat telekomunikasi ingin menaikkan harga internet setiap tahun.
"Tetapi saya telah memutuskan, harga tersebut tidak boleh naik, yang boleh adalah turun. Kita telah mengarahkan untuk semua rakyat Malaysia, untuk semua warganegara, untuk semua pengguna telekomunikasi di Malaysia, dari 4G nak guna 5G, tak payah ada bayar tambah," tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Merdeka: Aspirasi Belia MADANI di sini.
Program itu mengumpulkan lebih 1,000 belia melalui pelbagai aktiviti bermanfaat seperti segmen kenegaraan, e-sukan, dan wacana ilmiah, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2025.
Datuk Fahmi turut menyampaikan Anugerah Pingat 77 Tahun Majlis Belia Malaysia dan sijil penghargaan kepada para penerima.