fb fb fb fb fb

Kerajaan komited laksana sistem tol MLFF

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 19 Februari – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited dalam melaksanakan sistem kutipan tol Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) bagi memastikan keselesaan dan kemudahan pengguna lebuh raya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kementerian akan mendapatkan hala tuju baharu daripada Jemaah Menteri berkaitan kaedah pelaksanaan MLFF dalam tempoh terdekat.

“MLFF merupakan satu inisiatif kementerian bagi masa depan sistem kutipan tol. Ini sejajar dengan pelan pelaksanaan Sistem Pengangkutan Pintar Negara (ITS). Melalui sistem ini, pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan ketika membuat bayaran tol, sekali gus melancarkan aliran trafik di plaza tol,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mengenai pendirian semasa kerajaan dalam memuktamadkan hala tuju struktur tadbir sistem pembayaran tol MLFF serta status rundingan bersama syarikat konsesi lebuh raya.

Tambah Ahmad, cadangan pelaksanaan MLFF di Malaysia akan menggunakan gabungan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan kamera pengesanan nombor plat automatik (ANPR) bagi mengesan kenderaan serta maklumat pengguna untuk pembayaran tol yang lebih lancar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN