fb fb fb fb fb

Kerajaan komited kepada 'Langkah Pendigitalan' - Anthony Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

SEREMBAN, 4 Januari- Kerajaan komited kepada usaha memperkasa ‘Langkah Pendigitalan’ bagi memastikan negara berkembang maju, kerana menerusi pendigitalan bersepadu dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar serta membawa banyak manfaat kepada rakyat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata usaha tersebut adalah selaras langkah kerajaan yang sedang berusaha mengemas kini butir maklumat melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), yang diyakini membolehkan negara berkembang dengan lebih maju. 

"Bagi kita yang pentingnya sekarang ini ialah agenda pendigitalan, dan Kementerian Pengangkutan juga fokus ke arah pendigitalan bagi memperkasakan myJPJ dan sebagainya.
Setakat ini, pelaksanaan pendigitalan yang sedang dilaksanakan adalah terkandung dalam Pelan Strategik Pendigitalan JPJ 2021-2025," katanya.

Terdahulu, Loke merangkap Ahli Parlimen Seremban menyampaikan cek sumbangan YTL Foundation berjumlah RM1 juta kepada Sekolah Menengah Kebangsaan St Paul, di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Loke, cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik sedang dalam peringkat penelitian serta kajian oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau mengulas laporan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri  Ahmad Zahid yang dikatakan pihaknya akan membawa cadangan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik ke Kementerian Pengangkutan untuk penelitian.

ZEHRA BINTI ZAMBRI