KUALA LUMPUR, 31 Julai - Kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan dalam semua bentuk, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan membasmi kemiskinan bukan sekadar menyalurkan bantuan bersifat sementara, tetapi yang lebih penting melalui
penyediaan peluang untuk meningkatkan mobiliti sosial.
Justeru, pelbagai inisiatif meningkatkan pendapatan rakyat serta program pemerkasaan ekonomi komuniti bandar dan pembangunan kesejahteraan rakyat akan terus dilaksanakan.
"Melalui Program SejaTi MADANI misalnya dana sehingga RM100,000 diberikan kepada komuniti yang layak bagi meningkatkan pendapatan dan merancakkan kegiatan ekonomi setempat yang dipacu oleh rakyat, untuk rakyat.
"Saya menganggap ia unik kerana ia memperkasa rakyat, menyantuni rakyat kerana memenuhi hasrat setiap desa dan miskin bandar," katanya dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini kian mendapat sambutan dengan seramai 212,000 kemasukan baharu ke dalam program berkenaan direkodkan pada tahun 2024 sahaja.
Menurutnya, susulan itu program TVET MADANI akan diperkasa bagi meningkatkan penguasaan kemahiran yang boleh menjana pendapatan lebih tinggi, termasuk kepada pelajar tahfiz dan huffaz.
"Pada masa yang sama, tahap pensijilan TVET akan ditingkatkan dengan memperkenalkan tiga tahap kepakaran baharu, 6 hingga 8, agar setara dengan tahap kelayakan pengajian tinggi di bawah Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
"Ikhtiar ini bertujuan memperakui kemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan memperluas laluan kerjaya, selaras dengan keperluan pasaran," katanya.