PUTRAJAYA, 15 Julai – Kerajaan sedang meneliti semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 susulan kekeliruan yang timbul berhubung proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata satu jawatankuasa khas akan dibentuk, melibatkan ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara, pakar perlembagaan, ahli akademik serta wakil Majlis Peguam bagi meneliti semula struktur dan tafsiran akta tersebut.
“Kita sedang membentuk jawatankuasa bersama ahli-ahli dari Dewan Negara dan Dewan Rakyat, dengan input daripada pakar perlembagaan, profesor, dan Majlis Peguam. Kita perlu melihat sama ada kekeliruan itu berpunca daripada penggunaan perkataan atau proses itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata akta berkenaan yang diguna pakai sejak 2009 tidak pernah menimbulkan masalah dalam pelantikan Ketua Hakim Negara sebelum ini.
“Akta ini telah wujud sejak tahun 2009 dan telah menjadi panduan dalam pelantikan lima Ketua Hakim Negara.
"Ia tidak pernah menjadi masalah. Jadi kini kita perlu tanya, dari mana datangnya kekeliruan itu?” katanya lagi.
Mengulas sama ada wujud tekanan politik dalam isu pelantikan tersebut, beliau menegaskan tidak terlibat dalam sebarang proses tersebut dan tidak mempunyai akses kepada dokumen rasmi berkaitan.
“Daripada semua mesyuarat politik yang saya hadiri bersama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, tidak ada sebarang perbincangan khusus mengenai perkara ini.
"Keputusan terletak di tangan Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri, seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 125,” tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Malaysia International Conference on Governance and Integrity 2025, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.