KUALA LUMPUR, 18 November – Kerajaan akan meneliti cadangan memperuntukkan kuota BUDI95 kepada pemandu p-hailing yang belum menerima manfaat, bagi memastikan semua pemandu logistik dapat menikmati subsidi secara adil.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menjelaskan, kerajaan akan meneliti keperluan p-hailing dan sekirannya perlu, memperuntukkan kuota bersesuaian supaya semua pemandu yang bergantung kepada kenderaan bagi perkhidmatan logistik dapat menikmati manfaat BUDI95.
"Berdasarkan analisis data daripada penyedia perkhidmatan p-hailing, lebih tujuh peratus pemandu adalah pemandu motosikal. Oleh itu, hak kelayakan asas 300 liter adalah mencukupi untuk kegunaan bulanan mereka.
"Namun, kerajaan masih memantau keperluan ini dan akan mengumumkan sebarang penambahbaikan pelaksanaan BUDI95 dari masa ke semasa,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, Lim memaklumkan bahawa kerajaan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan menambah baik kuota berdasarkan penggunaan sebenar, bagi memastikan subsidi disalurkan secara adil dan efektif.
Terdahulu kerajaan telah menambah baik hak kelayakan bagi pemandu e-hailing sehingga maksimum 800 liter sebulan untuk memenuhi keperluan sebenar.