fb fb fb fb fb

Kerajaan jamin tiada murid Sekolah Henry Gurney, Intergriti terpinggir

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar-pelajar semasa hadir pada majlis Perasmian Program Hijrah Kasih di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka / Foto Bernama

MELAKA, 21 Mac - Murid di Sekolah Intergriti dan Sekolah Henry Gurney di negara ini tidak akan terpinggir daripada mendapat mana-mana akses pendidikan terbaik hanya kerana mereka berada di sekolah berkenaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata jaminan itu termasuk mendapat semua bentuk kemudahan dan kaedah pembelajaran mengikut tahap pendidikan dan jenis peperiksaan yang akan diduduki murid terbabit.

Beliau berkata, lapan Sekolah Integriti dan tiga Sekolah Henry Gurney di negara ini akan menerima pendidikan yang sama seperti murid sekolah awam di negara ini.

"Banyak manfaat yang mereka dapat daripada Kementerian Pendidikan (KPM) khususnya dalam soal pendidikan arus perdana bukan sahaja dalam konteks kurikulum termasuk penglibatan dalam sukan.

"Kita beri jaminan ini kerana mereka masuk ke sini dengan umur yang masih di bangku persekolahan dan pendidikan tetap menjadi keutamaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hijrah Kasih ke-14 di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, di sini.

Tambah Fadhlina, antara jaminan akses pendidikan yang akan diperoleh murid berkenaan ialah mereka akan menduduki saringan literasi dan numerasi, mengikuti program khusus untuk meningkatkan literasi dan numerasi dan ditempatkan dalam satu daripada lima kluster iaitu akademi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agama, seni dan budaya serta sukan.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata keutamaan dalam pendidikan di Sekolah Intergriti dan Sekolah Henry Gurney terbukti apabila sebanyak 86 calon telah mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022 dengan lima calon berjaya mendapat keputusan 5A dan ke atas, manakala kelulusan calon di semua sekolah berkenaan ialah 100 peratus.

Beliau berkata, pelajar juga dijamin mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN