BAYAN LEPAS, 1 Julai- Struktur tarif elektrik negara mengalami perubahan bermula hari ini, membabitkan penetapan kadar baharu bagi beberapa kategori caj termasuk caj tenaga, caj kapasiti, dan caj rangkaian.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan majoriti pengguna domestik dengan penggunaan elektrik kurang daripada 1,000 kilowatt-jam (kWj) sebulan tidak akan terbeban dengan pelaksanaan struktur tarif baharu itu.
“Maka semua akaun TNB yang menggunakan kurang daripada 1,000 kilowatt-jam dijangka bukan sahaja bilnya akan kekal, malah berkemungkinan akan turun.
"Ini berdasarkan maklumat yang telah diterbitkan oleh TNB sendiri. Jadi, kita jangkakan bagi kebanyakan isi rumah, kita akan saksikan sama ada bilnya kekal atau berkurangan,” jelasnya.
Struktur tarif baharu itu merangkumi pelarasan kadar mengikut waktu penggunaan. Bagi caj tenaga, kadar dikenakan ialah 38.52 sen per kilowatt-jam pada waktu puncak, manakala 34.43 sen per kilowatt-jam pada waktu luar puncak.
Sementara itu, caj kapasiti ditetapkan sebanyak 4.55 sen per kilowatt-jam, manakala caj rangkaian ialah 12.85 sen per kilowatt-jam.
Orang ramai dinasihatkan untuk memantau kadar penggunaan elektrik masing-masing setiap bulan serta merujuk portal rasmi myTNB bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung struktur tarif baharu ini.
Antara faktor yang menyumbang kepada pengekalan atau penurunan bil elektrik pengguna ialah pengurangan penggunaan elektrik pada waktu puncak, yang merupakan antara komponen utama dalam pengiraan kadar tarif baharu.