PUTRAJAYA , 3 September – Kerajaan memberi jaminan, bekalan barang keperluan asas, termasuk barangan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), adalah mencukupi dan tidak menghadapi sebarang masalah pada masa ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan, tiada isu kekurangan bekalan dilaporkan setakat ini.
"Pada waktu ini pihak KPDN tidak ada memaklumkan sebarang masalah berkait dengan bekalan dan pemantauan akan ditingkatkan untuk pastikan tidak berlaku apa-apa isu dari segi stok ataupun bekalan bagi barang-barang keperluan asas," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Menurut Datuk Fahmi, isu kekurangan bekalan juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet kerana situasi semasa masih terkawal.
"Dalam mesyuarat pada hari ini, tidak ada dibincangkan isu ataupun masalah yang berkait," jelasnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan melalui KPDN serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memastikan bekalan makanan utama berada pada paras mencukupi.
"Kerajaan, KPDN dan juga pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pasti akan memastikan stok bekalan ayam, telur dan sebagainya adalah mencukupi," katanya lagi.
Tambah Datuk Fahmi, pemantauan rapi secara bersepadu akan diteruskan bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan, khususnya ketika musim perayaan atau peningkatan permintaan mendadak.
Antara barangan tersenarai bawah SARA termasuk beras, roti, telur, minyak masak dan tepung.