fb fb fb fb fb

Kerajaan hargai 148 ahli parlimen sokong dua RUU reformasi parlimen

Fahmi Fadzil/RTM

KUALA LUMPUR, 4 Mac- Kerajaan menzahirkan penghargaan kepada 148 ahli parlimen yang menyokong dan mengundi kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata pindaan yang membolehkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara menyertai Majlis Perkhidmatan Parlimen disifatkan sebagai langkah besar dalam mengembalikan kebebasan institusi parlimen.

Jelas beliau, keputusan itu bukan sahaja mengukuhkan institusi parlimen tetapi juga membetulkan kesilapan pada 1992 apabila Akta Perkhidmatan Parlimen dimansuhkan.

"Hari ini, kita bukan hanya sekadar mulakan proses untuk mengembalikan dan mengangkat martabat institusi Parlimen, tetapi juga mengembalikan kebebasan kepada institusi ini. Pindaan kali ini jauh berbeza daripada apa yang pernah dibawa oleh Tunku Abdul Rahman pada 1963.

"Secara substantifnya, kita telah berjaya bukan sahaja menghapuskan satu 'dosa besar' terhadap Parlimen Malaysia dan demokrasi negara pada 1992, tetapi juga membawa satu rang undang-undang yang lebih bermakna untuk warga Parlimen," katanya dalam sidang media di Parlimen.

Seramai 148 ahli Parlimen bersetuju meluluskan RUU berkenaan, manakala 57 tidak mengundi dan 17 lagi tidak hadir. Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan keputusan itu selepas undi belah bahagi dilakukan.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA