fb fb fb fb fb

Kerajaan fokus tingkat martabat semua negeri - PM

Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU, 16 September- Kerajaan komited untuk terus mengangkat martabat semua negeri terutama kawasan pedalaman dan miskin bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata usaha itu memerlukan semangat berpasukan dan kesepakatan dalam kalangan pimpinan negara.

"Kalau ada muafakat, kalau perbincangan yang baik dan kalau cadangan-cadangan memudahkan urusan kerja... kita akan lebih berjaya. Sebagai bapa (pemimpin) saya ingin menasihatkan rakan-rakan, bekerjalah sebagai satu pasukan.

"Kita harus bersama-sama mengangkat martabat semua negeri terutama kawasan pedalaman atau daerah terpencil dan kawasan miskin bandar. Itu tekad kita dan percayalah, Insya-Allah kita akan lakukan bersama," katanya.

Anwar turut menyeru rakyat agar meneladani perjuangan para pejuang terdahulu yang berwawasan demi kesejahteraan generasi akan datang.

Beliau berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan di Padang Merdeka di sini malam ini. Sambutan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

SITI AISHAH MD ISA