
KUALA LUMPUR, 24 Februari- Kerajaan menegaskan komitmen berterusan untuk menangani sebarang isu penetapan sempadan darat, maritim dan udara negara secara aman, berprinsip serta berpandukan undang-undang antarabangsa.
- Kerajaan komited menyelesaikan isu sempadan darat, maritim dan udara secara aman dan berprinsip berdasarkan undang-undang antarabangsa.
- Isu sempadan dengan negara jiran memerlukan penilaian teknikal dan kajian mendalam terhadap instrumen perundangan dan dokumen rujukan.
- Pendekatan "whole of government" diguna untuk rundingan bersama agensi berkaitan mencari penyelesaian dipersetujui kedua-dua pihak.
- Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan Filipina ke atas Sabah; rundingan dengan Indonesia dan Singapura diteruskan menerusi mekanisme multilater dan persetujuan fase.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata isu berkenaan terutama melibatkan negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura yang memerlukan penilaian teknikal serta kajian mendalam terhadap instrumen perundangan dan dokumen rujukan berkaitan.
Beliau menekankan kerajaan sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan melalui pendekatan “whole of government” dalam melaksanakan rundingan dengan negara jiran bagi mencari penyelesaian yang dipersetujui kedua-dua pihak.
“Ingin saya tegaskan bahawa urusan penandaan dan pengukuran sempadan di lapangan dilaksanakan berpandukan perjanjian sedia ada.
“Proses ini tidak berdasarkan konsep ‘untung atau rugi’, sebaliknya mengukur di lapangan mengikut konvensyen dan perjanjian yang telah dipersetujui.
“Ia merupakan proses teknikal bagi mengabsahkan kedaulatan wilayah mengikut peruntukan undang-undang,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina ke atas Sabah yang merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Berhubung pertikaian sempadan dengan Indonesia, beberapa siri rundingan telah diadakan melalui mekanisme Jawatankuasa Sempadan Bersama.
Bagi hubungan persempadanan dengan Singapura, Datuk Seri Mohamad berkata kerajaan kini memfokuskan usaha mengambil semula kedaulatan ruang udara secara berfasa dan meneruskan rundingan bagi memuktamadkan persempadanan maritim yang masih tertunggak.
Bagaimanapun, jelas beliau, kedua-dua negara telah mencapai penyelesaian bersama bagi persempadanan maritim semasa Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 tahun lalu.
Datuk Seri Mohamad berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Mustafa Musa mengenai isu teknikal dan diplomatik dalam proses penetapan sempadan negara-negara jiran pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara, hari ini.