fb fb fb fb fb

Kerajaan dalam proses analisis impak RUU Majlis Media Malaysia - Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ke Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 bersama-sama Siswa di UNIMAS hari ini/Foto Kementerian Komunikasi

KUCHING, 25 Mei - Kerajaan kini dalam proses menyediakan Analisis Impak Draf Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMC) kepada industri media sebelum dibentangkan di sidang Parlimen akan datang.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata beliau telah meminta proses analisis impak itu diteliti dan dipercepat meskipun perlu mengambil masa.

"Saya telah meminta proses itu diteliti dan dipercepat, ia akan makan masa tapi perlu dilalui, sebelum ini kita belum dimaklumkan tapi sekarang ini kita sedang atur dan kita sedang fasa akhir sebelum ia melalui proses itu," katanya yang berharap RUU itu dibentangkan pada Oktober nanti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Bersama Siswa sempena sambutan HAWANA 2024 di Pusaka Sarawak di sini hari ini.

Pada 3 Mei lalu, Fahmi dilaporkan berkata, kerajaan sedang melihat beberapa RUU berkaitan media, termasuk draf RUU untuk penubuhan MMC dalam usaha memastikan kebebasan akhbar di negara ini.

Pada masa ini, katanya, draf RUU MMC berada di peringkat perbincangan dalam kalangan organisasi media, syarikat berkaitan dan persatuan pengamal media.

Sementara itu, Hawana tahun ini ialah edisi keempat penganjurannya selepas diperkenalkan di ibu negara pada 2018, Melaka (2022) serta Perak (2023), dan tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.

GRACE AISYAH KEDAYAN