fb fb fb fb fb

Kerajaan bina dewan PPS untuk penduduk terjejas banjir

ALOR SETAR, 5 Mac- Kerajaan sedang membina dewan di sekolah yang biasanya dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang digunakan untuk penduduk terjejas banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pembinaan dewan tersebut adalah bagi memastikan penduduk terjejas banjir mendapat kemudahan yang lebih selesa.

Beliau berkata setakat ini terdapat lapan buah dewan yang sedang dibina dengan peruntukan sepenuhnya menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

Pembinaan dewan tersebut tertumpu di negeri yang sering terjejas banjir terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor yang secara keseluruhan mempunyai lebih 1,000 PPS.


(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi/BERNAMA)

Bagaimanapun pembinaan dewan PPS tersebut akan mengikut keutamaan di kawasan-kawasan sekolah yang akan dikenal pasti.

"Oleh kerana terdapat sekolah-sekolah yang dijadikan sebagai PPS, kita mesti mempunyai rancangan jangka panjang untuk PPS, membina dewan-dewan PPS di sekolah. Dewan tersebut boleh digunakan di luar musim banjir untuk lain-lain tujuan.


"Kalau sekolah itu digunakan sebagai PPS, tetapi tandas, tempat mandi tiada di sekolah itu, dengan pembinaan dewan itu, mempunyai tandas, tempat mandi.Jadi mereka yang ditempatkan di dewan itu dapat menggunakan kemudahan itu. Tetapi di luar musim banjir dewan dan kemudahan itu, boleh digunakan oleh pelajar sekolah tersebut", katanya dalam sidang media selepas Lawatan Kerja di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Alor Setar.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata selaku Pengerusi Jawatankuasa Pusat Bencana, pihaknya akan melakukan koodinasi bersama kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mengambil langkah-langkah proaktif bagi memudahkan tugas-tugas membantu penduduk terjejas banjir.

Media Baharu