fb fb fb fb fb

Kerajaan beri peruntukan tambahan RM2 juta laksana program BBA 2024

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Sebanyak RM2 juta peruntukan tambahan disediakan bagi pelaksanaan program Bio-based Accelerator (BBA) 2024. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi membantu sektor berasaskan bio menjadi lebih inovatif serta celik teknologi sekali gus meningkatkan tenaga kerja dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM). 

Beliau berkata, dana tersebut akan disalurkan  melalui Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Akan diagihkan melalui MOSTI, kita akan ikut prosedur itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Perasmian National Bioeconomy Showcase 2024, di sini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 11 memorandum persefahaman dan kerjasama dimeterai dengan nilai anggaran RM1.5 bilion antara penggerak industri bioteknologi dengan pihak awam dan swasta, tempatan serta antarabangsa.

Kerjasama itu, dijangka mendorong pelaburan dan pembangunan dalam bioekonomi, meningkatkan pembangunan modal insan yang mahir dalam bioteknologi, menggalakkan penghasilan produk dan perkhidmatan berasaskan bio tempatan, serta meningkatkan keupayaan dalam bidang biofarmaseutikal dan pengesanan awal kanser.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN