JASIN, 15 Januari - Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan persatuan bas sekolah bagi menaikkan kadar tambang bagi sesi persekolahan penggal baharu Mac ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, bagaimanapun cadangan itu masih dalam peringkat kajian dan pelbagai faktor akan dipertimbang terutama melibatkan kemampuan ibubapa dan penjaga.
Katanya, setakat ini MOT tidak mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu dengan mana-mana persatuan atau operator bas sekolah.
" Yang sebenarnya kita masih dalam kajian. sebab semuanya mempunyai impak terutamanya kepada ibubapa dan sebagainya.
"Jadi kita belum lagi mengeluarkan apa-apa keputusan tentang itu", katanya yang ditemui pada sidang media Majlis Perasmian Litar Latihan dan Ujian Memandu Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di Tiang Dua di sini.
Perasmian disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha.
Terdahulu, tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka akan meningkat susulan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan jentera yang meningkat sehingga 80 peratus.
Dalam pada itu, Hasbi menjelaskan kewujudan Litar Latihan dan Ujian Memandu Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) pertama di Melaka adalah untuk melahirkan tenaga pengajar yang lebih kompeten.
Tambah Hasbi, pembangunan kompetensi pemanduan selamat meliputi latihan kepada penguji JPJ, Pengajar Institut Memandu, Pemandu Kenderaan Jabatan dan Agensi serta Operator Pengangkutan di negara ini.
Latihan yang sebelum ini hanya dilaksanakan di Institut Latihan Memandu, akan memastikan tenaga pengajar memiliki Diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Alhamdulillah, kita berharap dengan adanya litar ini nanti kita akan melahirkan tenaga pengajar yang kompeten dan berkualiti dan apatah lagi kita sudah hasil tenaga daripada sini akan dinaik taraf kepada sijil profesional", kata Hasbi.