fb fb fb fb fb

Kerajaan bakal wujudkan akta baharu sistem 'Kill Switch', kekang penipuan dalam talian

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Februari - Akta baharu yang merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan sistem 'kill switch', sedang dikenal pasti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu bertujuan tingkatkan tahap keselamatan digital negara sekali gus mengekang sebarang aktiviti penipuan terutama dalam talian secara automatik.

Menurut Azalina, pelaksanaanya selari perkembangan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan selain mengambil kira peningkatan kes jenayah siber.

"Menyedari cabaran peningkatan kes jenayah siber, disebabkan oleh kecerdasan buatan, Artifical Intelligence (AI) dan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak penyedia perkhidmatan yang lebih mementingkan keuntungan berbanding keselamatan awam, Kerajaan Madani sedang giat mengatur pelbagai usaha secara strategik bagi memerangi isu ini secara efektif dan pada kadar segera", katanya ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu usaha kerajaan bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, 71,631 laporan penipuan diterima Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), sejak 12 Oktober 2022 hingga akhir bulan lepas.

Ia membabitkan kerugian lebih RM245 juta.

Tambah Azalina, bagi mengekang penipuan dalam talian, Bank Negara (BNM) bekerjasama dengan institusi kewangan dengan melaksana langkah keselamatan tambahan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD