Kerajaan anjur acara khas peringati 50 tahun pemergian Tun Abdul Razak 

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Januari – Kerajaan akan menganjurkan satu acara khas bagi memperingati ulang tahun ke-50 pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak, yang akan dilaksanakan sempena Bulan Kebangsaan tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan akan menganjurkan acara khas sempena ulang tahun ke-50 pemergian Tun Abdul Razak.
  • Kementerian Perpaduan Negara dilantik sebagai kementerian peneraju pelaksanaan acara tersebut.
  • Acara dijadualkan sempena Bulan Kebangsaan menuju Hari Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan.
  • Tujuan acara ialah mengenang jasa bakti Tun Abdul Razak terhadap pembangunan dan perpaduan negara.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet hari ini, dan pelaksanaannya akan melibatkan Kementerian Perpaduan Negara sebagai kementerian peneraju.

“Perdana Menteri telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa hari ini, 14 Januari merupakan tarikh ulang tahun ke-50 pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak dan ini merupakan satu tarikh yang penting yang bukan hanya untuk diperingati.

“…tetapi seperti yang telah dilaksana sebelum ini, pada setiap tahun, sempena Bulan Kebangsaan, akan ada tokoh negarawan yang akan diadakan satu acara khusus.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah meminta supaya Kementerian Perpaduan menyediakan satu acara khusus untuk memperingati jasa bakti Allahyarham Tun Abdul Razak dan ia akan diadakan sempena Bulan Kebangsaan menuju Hari Kebangsaan, Hari kemerdekaan”, jelasnya dalam Sidang Media Pasca Kabinet di Putrajaya.

Tambahnya, tarikh berkenaan bukan sahaja wajar diperingati, malah perlu dijadikan platform mengenang jasa bakti tokoh negarawan negara itu kepada pembangunan dan pembinaan negara bangsa.

Allahyarham Tun Abdul Razak merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua dan dikenang sebagai tokoh penting yang memperkenalkan dasar-dasar utama negara, termasuk pembangunan luar bandar serta pembentukan perpaduan nasional.