fb fb fb fb fb

Kerajaan aktifkan jentera hadapi Monsun Timur Laut

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/RTM

PUTRAJAYA, 14 November -Kerajaan memberi jaminan semua agensi berada pada tahap kesiapsiagaan penuh susulan permulaan Monsun Timur Laut (MTL), sejak semalam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat Kabinet hari ini memaklumkan bahawa jentera kerajaan telah digerakkan sepenuhnya, termasuk bagi menghadapi kemungkinan fenomena La Nina.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti memandangkan kita berdepan fenomena La Nina, lebih 3,682 hotspot banjir yang yang mana menjadi tumpuan persiapan bagi menghadapi MTL.

“Manakala di bawah Jabatan Mineral dan Geosains, sejumlah 254 cerun kritikal telah dikenal pasti, selain 1768 stesen hidrologi, 614 siren amaran banjir serta 285 rumah pam dalam keadaan siap siaga,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini.

Datuk Fahmi berkata, beberapa empangan juga dikenal pasti dan tindakan intervensi akan diambil sekiranya paras air melepasi tahap kritikal bagi memastikan keselamatan penduduk berhampiran.

Pada masa sama katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diaktifkan dan bersiap sedia digerakkan bawah Ops Murni, operasi khas menghadapi MTL.

TETITIA YUSOFF