fb fb fb fb fb

Kerajaan akan pertimbang laksana subsidi lebih bersasar - Mohd Shahar

PUTRAJAYA, 23 Ogos- Kerajaan komited memastikan kesejahteraan rakyat termasuk melindungi isi rumah daripada impak penuh kenaikan harga komoditi dan makanan global.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan l, Datuk Mohd Shahar Abdullah, tanpa subsidi yang disediakan kerajaan untuk barangan asas, dianggarkan inflasi negara akan mencapai 11.4%.

“Inisiatif pembaharuan fiskal ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan serta mewujudkan ruang fiskal dan fleksibiliti bagi melaksanakan langkah ‘counter-cyclical’ (kitaran balas) untuk terus menyokong ekonomi dan mengukuhkan daya tahan negara bagi berdepan dengan cabaran masa hadapan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan.

Jelasnya lagi walaupun telah beralih dari fasa pemulihan pasca COVID-19 ke fasa pembaharuan dan pembangunan, negara berdepan cabaran baharu dalam bentuk ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing seterusnya mewujudkan tekanan inflasi terutamanya ke atas harga komoditi dan makanan serta gangguan bekalan.

Bagaimanapun, tahap inflasi negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini mencatat kadar 2.5%.

Kadar itu jauh lebih rendah daripada inflasi di negara lain, terutamanya dalam kalangan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) yang mencecah sembilan peratus sementara negara serantau seperti Thailand, Filipina dan Singapura mencecah lebih enam peratus.

Peserta-peserta yang hadir mendengar ucapan Timbalan Menteri Kewangan 1,
Datuk Mohd Shahar Abdullah pada Majlis Konsultasi Bajet 2023 di Putrajaya, hari ini
FOTO BERNAMA

Tambahnya, tahap inflasi di Malaysia kekal terkawal ekoran daripada pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan.

Beliau berkata susulan langkah kerajaan untuk meneruskan dan menambah baik subsidi, perbelanjaan untuk bantuan dan subsidi dianggarkan meningkat kepada RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion.

Tahap inflasi di Malaysia kekal terkawal susulan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi oleh kerajaan.

Media Baharu