(Foto Bernama)
IPOH, 29 Januari- Tiada sebarang permohonan diterima setakat ini, daripada bekas ahli parti lain termasuk UMNO untuk menyertai parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekiranya perkara itu timbul pihaknya akan meneliti dan mendapatkan pandangan pimpinan setiap parti dalam gabungan itu terlebih dahulu.
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata keputusan akan mengambil kira aspek kerukunan dan kedamaian Kerajaan Perpaduan.
"Ini sebenarnya keputusan dalaman disiplin masing-masing tetapi tidak ada timbul lagi sebarang pelawaan untuk bersama dan tentunya sekiranya ada kita akan teliti.
"Dan tentunya mendapat pandangan pimpinan lain dan juga menjaga kerukunan dan kedamaian Kerajaan Perpaduan, jadi kita akan bagi pertimbangan lebih luas," katanya.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembukaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun/Foto Bernama)
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru Raya, di sini hari ini.