fb fb fb fb fb

Keputusan STPM catat PNGK 2.79, meningkat 0.01 mata

(Prof Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman ketika mengumumkan keputusan STPM 2021 di
ibu pejabat Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang hari ini)

SELAYANG, 18 Ogos - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia(STPM) 2021 mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.79 meningkat 0.01 mata berbanding 2.78 pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata seramai 874 calon memperoleh PNGK 4.0 dan daripada jumlah tersebut, 584 calon atau 66.82 peratus adalah dari golongan B40.

Bilangan calon yang mendapat PNGK 4.00 turut meningkat sebanyak 133 calon iaitu daripada 741 calon pada tahun 2020 kepada 874 calon pada 2021.

"Peratusan calon STPM 2021 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding STPM 2020 didapati telah meningkat sebanyak 0.73 peratus iaitu daripada 72.97 peratus pada tahun 2020 kepada 73.70 peratus pada tahun 2021," kata beliau beliau yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika mengumumkan keputusan STPM 2021 di Majlis Peperiksaan Malaysia, di sini hari ini.

Seramai 42,369 calon mendaftar untuk menduduki STPM 2021, dengan 40,926 atau 96.59 peratus hadir mendudukinya, menurun berbanding 44,704 dalam STPM 2020.


(Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Kemaman, Terengganu gembira setelah berjaya memperoleh
keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021/ Foto BERNAMA)

Keseluruhan pencapaian PNGK calon STPM 2021 adalah meningkat berbanding 2020.

Seramai sepuluh calon terbaik STPM 2021 turut diumumkan dengan PNGK 4.00 dan mendapat keseluruhan 5A.

Dalam pada itu, berdasarkan perbandingan keseluruhan antara calon bandar dan luar bandar sejak tahun 2013, keputusan kali ini buat julung kali mencatatkan tiada perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dengan calon luar bandar, yang mana kedua-duanya memperoleh PNGK 2.79 dalam STPM 2021.

"Ini kohort yang kedua sebenarnya yang diadakan pelaksanaan peperiksaan secara dalam talian dan kumpulan ini juga mereka yang terkesan disebabkan oleh COVID-19 dan kalau kita perhatikan dari segi jurang itu memang tak ada beza antara bandar dengan luar bandar dari segi pelaksanaan peperiksaan yang dilaksanakan secara dalam talian dan masa yang lama sebenarnya, saya dimaklumkan oleh MTM ada peperiksaan itu dilewatkan dan pelajar mempunyai masa yang lamalah untuk berhadapan dengan peperiksaan," menurut Mohd Ekhwan.

Media Baharu