
PUTRAJAYA, 31 Mac – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) merekodkan 4.42 mata.
- Jumlah pendaftaran meningkat kepada 413,299 calon; 94.29 peratus layak dianugerahkan Sijil SPM.
- Jurang pencapaian bandar dan luar bandar semakin mengecil; bandar 4.40 mata, luar bandar 4.81 mata.
- 376 calon memperolehi semua A+; 23.76 peratus mencapai sekurang-kurangnya Kepujian.
- Peningkatan disumbang intervensi awal berasaskan AI, Program Tuisyen MADANI, Program Anak Kita, PLC, dan penempatan guru seimbang.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pencapaian keseluruhan calon SPM 2025 menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
“Seramai 413,299 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2025, iaitu peningkatan sebanyak 10,381 calon atau 2.58 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Daripada jumlah itu, seramai 366,435 calon atau 94.29 peratus layak dianugerahkan Sijil SPM,” katanya dalam sidang media pengumuman keputusan SPM 2025 di sini hari ini.
Menurut Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan peningkatan akademik murid secara keseluruhan, malah turut memperlihatkan jurang pencapaian pendidikan antara bandar dan luar bandar yang semakin mengecil.
Berdasarkan data yang diumumkan, GPK calon di bandar mencatatkan 4.40 mata, manakala calon di luar bandar merekodkan 4.81 mata, menjadikan jurang antara kedua-duanya semakin rapat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bagi kategori calon sekolah KPM sahaja, peratusan kelayakan sijil turut meningkat kepada 94.51 peratus, membabitkan seramai 329,272 calon.
Dari segi pencapaian cemerlang pula, seramai 376 calon berjaya memperoleh semua A+, manakala 92,347 calon atau 23.76 peratus memperoleh sekurang-kurangnya Kepujian (Gred C).
Selain itu, 141,728 calon atau 36.47 peratus pula mencatatkan pencapaian sekurang-kurangnya Lulus (Gred E).
Prestasi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) juga menunjukkan perkembangan positif apabila seramai 1,516 calon atau 80.72 peratus layak memperoleh sijil pada tahun ini, meningkat berbanding 1,377 calon atau 78.73 peratus pada tahun 2024.
Antara kategori CBPK yang merekodkan peratusan kelayakan tertinggi ialah Kurang Upaya Penglihatan (Buta) sebanyak 96.43 peratus, diikuti Kurang Upaya Fizikal sebanyak 92.52 peratus.
Beberapa inisiatif utama menyumbang peningkatan keputusan SPM 2025 termasuk keberkesanan intervensi awal terhadap murid berisiko cicir melalui sistem berasaskan Kecerdasan Buatan (AI).
Selain itu, pelaksanaan pelbagai program sokongan akademik seperti Program Tuisyen MADANI, Program Anak Kita di bawah Yayasan Hasanah, serta kerjasama erat antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat turut dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kepada kejayaan calon.
Pada masa sama pengukuhan kualiti guru melalui komuniti pembelajaran profesional (PLC) serta penempatan guru lebih seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar turut membantu meningkatkan pencapaian murid secara lebih menyeluruh.
Calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing pada Selasa di sekolah masing-masing.
Bagi memudahkan semakan, keputusan juga boleh diakses secara dalam talian menerusi portal rasmi KPM, selain semakan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), dan kemudahan itu disediakan sehingga 6 April 2026, pukul 6.00 petang.
Secara keseluruhannya, pencapaian SPM 2025 dilihat sebagai satu petunjuk positif terhadap keberkesanan dasar dan pendekatan pendidikan negara, selain membuktikan usaha berterusan KPM dalam memperkukuh kualiti pendidikan terus membuahkan hasil.