fb fb fb fb fb

Keputusan SPM 2023 kekal diumum 27 Mei

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL, 10 Mei- Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kekal diumumkan pada 27 Mei seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tarikh itu tidak akan menjejaskan perancangan cuti guru, kerana keputusan SPM boleh diperoleh secara dalam talian.

Pihaknya mendengar semua pandangan yang dikemukakan pelbagai pihak dan selari dengan pandangan KPM, terutamanya berkaitan kesejahteraan warga pendidik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, penetapan tarikh 27 Mei depan juga memberi peluang kepada pelajar untuk membuat persediaan untuk permohonan Unit Pusat Universiti (UPU).

"Kita melihat kepada kesejahteraan guru-guru. Jadi guru-guru yang telahpun merancang percutian, teruskan... tiada masalah.

"Jadi kita akan pastikan keputusan ini mereka akan dapat melalui secara dalam talian, kemudian secara SMS.

"Mana-mana anak-anak yang memerlukan, juga tiada akses pada dalam talian dan sebagainya, mereka boleh mendapatkan keputusan di sekolah yang terdekat", katanya selepas merasmikan Karnival HIP peringkat Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Indah, Jalan Transkrian, Nibong Tebal.

Semalam, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan peperiksaan SPM 2023 yang membabitkan 395,870 calon akan diumumkan pada 27 Mei ini bermula 10.00 pagi.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon dalam satu kenyataan merayu agar keputusan SPM 2023 diumumkan lebih awal (23 Mei) memandangkan tarikh rasmi dikeluarkan KPM itu merupakan cuti sekolah.

ROSLINA BINTI DIN