KOTA BHARU, 6 September - Prosiding inkues akan diadakan sekiranya terdapat keperluan berhubung kes kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsuddin.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata ketika ini pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Siasatan masih dijalankan oleh pihak polis. Sehingga siasatan lanjut selesai dan laporan bedah siasat diperoleh, kita akan teliti semua aspek yang telah dipenuhi oleh pihak polis. Jika ada keperluan, kita akan arahkan prosiding inkues diadakan, khususnya berdasarkan laporan post-mortem,” katanya selepas Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Program Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara 2025 di Kota Bharu, Kelantan.
Media sebelum ini melaporkan, laporan bedah siasat berhubung kematian Syamsul Haris, 22 tahun, dijangka diketahui dalam tempoh tiga bulan.
Perkara itu disahkan peguam keluarga Allahyarham, Datuk Naran Singh, selepas bedah siasat kedua dijalankan.
Pada 19 Ogos lalu, ibu kepada Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 tahun, mengemukakan permohonan untuk menggali semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan supaya prosiding inkues dimulakan.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor, dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Selangor.