fb fb fb fb fb

Keputusan Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib perlu dihormati semua pihak

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM) merangkap Felo Kanan Akademi Kenegaraan, Datuk Profesor Dr. Awang Azman Awang Pawi / RTM

KUALA LUMPUR, 23 Disember – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tahanan di rumah pada Isnin wajar dihormati oleh semua pihak tanpa sebarang prejudis atau tekanan.

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM) merangkap Felo Kanan Akademi Kenegaraan, Datuk Profesor Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, penghormatan terhadap keputusan mahkamah merupakan prinsip asas dalam sesebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan hak perundangan untuk mengemukakan rayuan tetap perlu diberikan ruang selaras dengan prinsip keadilan dan proses undang-undang yang adil.

“Sebarang keputusan mahkamah pada masa hadapan, sama ada berkaitan Najib Razak atau mana-mana individu lain, perlu dihormati tanpa prejudis, tekanan politik atau eksploitasi sentimen awam.

"Pendekatan ini penting bukan sahaja untuk kes semasa, tetapi sebagai prinsip umum yang terpakai kepada semua pemimpin dan parti politik, sama ada berada dalam kerajaan atau pembangkang.

"Menghormati proses mahkamah dan keputusan yang dibuat adalah asas kepada kestabilan, keadilan dan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Malaysia mesti terus dipertahankan sebagai sebuah negara hukum, bukan negara yang ditentukan oleh sentimen atau tekanan politik", katanya ketika dihubungi RTM

Ujar beliau, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan kestabilan negara serta mengekalkan keyakinan rakyat terhadap insitusi kehakiman.

Terdahulu Hakim, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum supaya beliau dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Dalam alasan penghakiman tersebut, hakim Alice Loke memutuskan bahawa permohonan bekas Perdana Menteri itu tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme itu dijalankan di negara ini.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD