fb fb fb fb fb

Keputusan kes Nik Elin tidak jejas Mahkamah Syariah - Mohd Na'im

Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

PUTRAJAYA, 9 Februari- Kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia adalah kekal utuh dengan jaminan kedudukannya sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Ia susulan Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 hari ini memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan berkenaan disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan  anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Sehubungan itu, sebagai tindakan segera, Mohd Na’im telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk segera mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes berkenaan.

Jelas beliau, tindakan tersebut adalah untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.

Tambah Mohd Na'im, segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah turut akan dilaksanakan.

"Justeru, selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, perancangan-perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

"Saya akan segera memohon perkenan untuk menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Duli Yang Maha Mulia, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum akan hal keputusan mahkamah hari ini.

"Saya juga akan segera memohon menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan DYMM Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara yang berkaitan," katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menyeru agar semua pihak untuk bertenang dan tidak melakukan apa-apa provokasi yang boleh mengundang keresahan awam.

"Akhirnya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan," tambahnya.

Dalam keputusan hari ini, dua seksyen yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan adalah Seksyen 13 iaitu menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral dan Seksyen 30 iaitu menggunakan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.

BERITA BERKAITAN
Mahkamah Persekutuan putuskan 16 kesalahan Kanun Jenayah Syariah Kelantan batal, tidak sah

SITI AISHAH BINTI MD ISA