fb fb fb fb fb

Kepentingan perluas kerjasama digital, AI, perikanan antara dibincang PM-To Lam

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

HANOI, 25 Februari- Kepentingan dalam memperluas kerjasama dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI) serta aktiviti perikanan antara perkara yang dibincangkan semasa kunjungan hormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, To Lam.

Menerusi pertemuan itu, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap pertumbuhan pesat ekonomi Vietnam, yang banyak memberikan pengajaran dan inspirasi kepada Malaysia.

"Kita boleh belajar daripada kejayaan Vietnam dalam meneroka teknologi baharu dan sektor tenaga yang mampan", katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.

Beliau turut menyampaikan penghargaan atas dukungan Vietnam terhadap kepimpinan Malaysia yang kini mengetuai ASEAN. 

"Dukungan berterusan daripada Vietnam amat penting bagi memastikan ASEAN kekal kuat dan berjaya dalam mencapai matlamatnya.

"Hubungan strategik antara Malaysia dan Vietnam tentunya telah menjadi keutamaan negara, terutamanya selepas lawatan terakhir TYT ke Malaysia", katanya.

Kedua-dua pihak juga mencapai persetujuan dalam aspek perkongsian maklumat perisikan serta kerjasama ketenteraan, iaitu satu langkah penting dalam memastikan kestabilan dan keselamatan serantau.

Mengenai isu penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN pula, Datuk Seri Anwar menghargai garapan Vietnam terhadap sejarah negara itu dan mendukung sepenuhnya akses mereka ke dalam ASEAN.

"Saya turut menekankan bahawa tidak ramai yang benar-benar memahami dan menghargai perjuangan wira-wira Dien Bien Phu, terutamanya dalam mengatur sejarah kenegaraan dan memungkinkan kejayaan Vietnam hari ini", katanya.

Selain itu, Vietnam sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam sejarah peribadi Datuk Seri Anwar kerana semasa zaman mahasiswa, kepimpinan Ho Chi Minh menjadi inspirasi dan sumber kepada semangat perjuangan beliau.

"Hubungan sejarah antara Malaysia dan Vietnam cukup erat dan kini menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk terus memperkukuh kerjasama demi manfaat bersama.

"Justeru, hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam akan terus diperkukuh demi kemajuan dan kestabilan di rantau ini", katanya.

 

 

 

 

ROSLINA BINTI DIN