fb fb fb fb fb

ASEAN-Malaysia 2025: Pelbagai persediaan tingkat kesedaran awam

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Pelbagai persediaan dilaksana bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan Malaysia, menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan persediaan itu turut melibatkan kementerian lain dengan menggariskan tiga tonggak utama iaitu politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.

Beliau menyifatkan Kepengerusian Malaysia merupakan satu kebanggaan. Kali terakhir Kepengerusian Malaysia pada tahun 2015.

"Pelbagai agensi, kementerian, jabatan, dalam dan luar negara, pihak swasta, badan bukan kerajaan, komuntiti setempat serta masyarakat awam telah kita gerakkan untuk kita pastikan supaya kesedaran masyarakat awam terutamanya di Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dapat dijayakan dan dapat didakap oleh masyarakat sebagai satu kebanggaan kepada kita kerana pusingan untuk menjadi Pengerusi ini adalah 10 tahun", katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berhubung persediaan Kementerian dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Parlimen.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, rantau ASEAN mengalami pertumbuhan ekonomi yang cepat.

Justeru, Malaysia perlu mengambil kesempatan mengadakan lebih banyak forum khususnya berkaitan ekonomi, menjelang Kepengerusian ASEAN tahun hadapan.

"Sebagai Pengerusi tahun depan untuk kita membawa sebanyak mungkin forum-forum. Di bawah kluster ekonomi yang akan membawa seperti ASEAN Business Advisory Council Malaysia Chapter telahpun merancang akan ada beberapa forum yang akan membawa seramai mungkin rakan-rakan mereka yang mahu melihat bagaimana cara untuk kita jadikan Malaysia ini sebagai sebuah negara yang mana pertumbuhan ekonominya amat dibanggakan.

"Ramai rakan sejawat saya bertanya apa rahsia Malaysia dalam suku pertama pertumbuhan ekonomi 4.2 peratus, pada suku kedua ramai menjangkakan kita akan terkial-kial bawah 4 peratus, tetapi kita boleh tumbuh sehingga 5.8 peratus dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, dimana iklim pelaburan tidak menggalakkan tapi pertumbuhan ekonomi kita melonjak", katanya dalam sesi Dewan Negara.

ROSLINA BINTI DIN