KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Seramai 25 orang terperangkap dalam kejadian kepala air di Sungai Pisang, Selayang dekat sini, kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.
Mereka bagaimanapun berjaya dibawa keluar ke kawasan selamat oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.41 tengah hari dan enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian, usaha membawa keluar mangsa dijalankan oleh enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang. Mangsa terdiri daripada 20 warga tempatan dan lima warga Indonesia, dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Ahmad Mukhlis, ketika kejadian kesemua 25 mangsa sedang beriadah dan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala Karak sebelum terperangkap di terowong sungai berkenaan.