fb fb fb fb fb

Kenyataan Muhammad Akmal, disifatkan pandangan peribadi

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/ Foto BERNAMA

MACHANG, 13 Julai- Kenyataan yang disuarakan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhammad Akmal Saleh berkenaan keputusan tidak mengosongkan enam kerusi ahli parlimen Bersatu disifatkan sebagai pandangan peribadinya.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kerajaan Perpaduan tidak boleh disalahkan dalam keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul kerana parlimen adalah institusi bebas.

"Parlimen adalah institusi yang satu lagi institusi yang bebas Badan Legislatif dengan Speaker mempunyai kedudukan tersendiri yang boleh membuat keputusan sendiri yang menggunakan kuasa yang ada diperuntukkan kepadanya.

"...dan Speaker juga sudah menyatakan pendirian dan asas-asas keputusan dia soal saudara Muhammad Akmal Saleh, itu hak dia untuk memberi pandangan," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Machang 2024 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu di sini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Speaker mempunyai hak kedudukan tersendiri yang boleh membuat keputusan sendiri dengan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya.

Selain itu Speaker juga sudah menyatakan asas-asas terhadap keputusan yang dibuat untuk tidak mengosongkan kerusi enam ahli parlimen tersebut.

Menurutnya, Speaker sudah membuat tafsiran undang-undang yang berkaitan secara menyeluruh tanpa ada desakan atau dipengaruhi oleh Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal dalam hantaran di akaun Facebook peribadinya dengan catatan, "Jangan marah rakyat jika mereka benci pada orang politik, selamat menjahanamkan negara wahai katak-katak politik."

Hantaran itu dibuat susulan keputusan Speaker Dewan Rakyat memutuskan enam Ahli Parlimen Bersatu kekal sebagai wakil rakyat walaupun keahlian mereka dalam parti sudah tergugur kerana memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI