fb fb fb fb fb

Kenyataan dakwa agama Islam terancam cetus persepsi buruk - MB Pahang

Datuk Seri Wan Rosdy pada Persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini/ Foto: FB Pahang Media

KUANTAN, 13 Mei- Dakwaan kononnya agama Islam terancam dan Pahang merupakan negeri sekular merupakan kenyataan yang mencetuskan persepsi buruk serta boleh memecahbelahkan keharmonian rakyat di negeri itu.

Menteri Besar , Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebenarnya telah banyak peruntukan kerajaan negeri berikan untuk melaksanakan pelbagai program ke arah pengukuhan syiar Islam di Pahang.

"Selain bantuan dan sumbangan yang disalurkan kepada masjid, surau, mualaf, pengantin baharu menerusi Bantuan Prihatin Pahang, kerajaan negeri juga telah membentangkan 14 Rang Undang-Undang (RUU) atau Enakmen berkaitan agama Islam yang telah diluluskan di dewan ini.

“Seperti RUU bagi menghalang umat Islam keluar daripada agama Islam (Murtad), RUU berkaitan Wakaf kita juga telah dilaksana, RUU berkaitan Wasiat serta RUU berkaitan Tarekat bagi menghalang penyebaran ajaran sesat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang sedang giat membangunkan Pendidikan Tahfiz khusus untuk anak-anak Pahang, bermula dari peringkat awal persekolahan sehingga ke peringkat diploma.

Dalam pada itu Wan Rosdy turut memaklumkan kerajaan Negeri akan melancarkan penghantaran bantuan barangan ke Gaza, Palestin menerusi kerjasama Wisma Putra melalui Program Ops Ihsan, 20 Mei ini.

Ujarnya, Tabung Pahang4Palestine yang telah dilancarkan pada 28 Oktober lepas telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM1.5 juta dalam tempoh hampir tujuh bulan.

"Insya-Allah pada 20 Mei ini iaitu Isnin depan saya akan melancarkan penghantaran bantuan dalam bentuk barangan seperti ubat-ubatan, selimut dan makanan ‘ready to eat’ ke Gaza dengan kerjasama Wisma Putra menerusi program Ops Ihsan," katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI